Saturday, April 4, 2009

isu remaja

Sebenarnya, banyak perkara yang telah dibentangkan dari isu ini:
  1. Tidak berfikir panjang. Ramai anak remaja lebih bersikap mengikut resa (impulsive) sehingga menjejas tingkah-laku mereka. Selalunya, mereka juga akan cepat terasa sedar tentang kesilapan ini tetapi merasa malu atau takut untuk berhadapan dengan kesan perbuatan mereka. Oleh itu, mereka terpaku untuk memperbaiki keadaan. Saya rasa Arinah mungkin rasa kesal apabila beliau telah melarikan diri tetapi oleh kerana beliau rasa takut dan malu untuk berhadapan dengan ibu bapanya, beliau membuat keputusan untuk menjauhkan diri. Masalah ini semakin bertambah apabila ada pula rakan yang bersubahat dengan memberinya tempat tinggal dan bukan nasihat untuk pulang kerumah untuk menjernihkan keadaan.
  2. Mementingkan diri sendiri. Ramai antara pembaca marah kerana menganggap Arinah bersikap mementingkan diri sendiri. Sebenarnya, naluri seorang anak remaja itu selalunya inginkan kesenangan diri dahulu sebelum memikirkan tentang hal orang lain. Ini adalah aspek normal pembangunan remaja. Tetapi sikap ini perlu diatasi untuk menjadi seorang dewasa yang matang. Saya tidak terperanjat apabila Arinah mengambil keputusan lari dari rumah kerana tidak terfikir tentang masalah yang beliau timbulkan kepada keluarganya. Malangnya, mungkin beliau tidak dinasihati oleh rakan atau ibubapa rakannya tentang ini. Oleh itu, beliau tidak dapat belajar untuk bermuhasabah (menilai perbuatan sendiri). Nampaknya, ibu bapanya perlu membantu menanamkan sifat ini kedalam diri beliau.
  3. Kemahiran menyelesaikan masalah. Pembaca bersetuju bahawa melarikan diri dari rumah bukan jalan penyelesaian masalah. Ada yang menganjurkan supaya Arinah berbincang dengan ibu bapanya. Saya gembira melihat para pembaca rasa mudah untuk berbincang dengan keluarga. Selalunya, anak remaja lebih suka berbincang dengan rakan sahaja dan kurang berkongsi masalah dengan ibubapa. Malangnya, rakan remaja kita mungkin kurang pengalaman dan tidak dapat memberikan penyelesaian yang baik. Ada juga ibu bapa yang tidak suka mendengar luahan hati anak-anak. Ibu bapa ini lebih cepat menuduh, menegah dan memarahi sebelum mendengar luahan sianak secukupnya. Jadi, ibu bapa Arinah juga perlu menilai semula adakah cara mereka mendampingi Arinah itu bersesuaian kepada usianya yang meningkat remaja; yang bukan lagi seperti anak-anak. Cara mereka menyelesaikan masalah akan ditiru oleh anak-anak.
  4. Disiplin diri lawan Kawalan Luaran. Isu remaja lari dari rumah seperti Arinah ini menunjukkan tahap disiplin diri seseorang itu. Seorang remaja yang boleh menahan diri dari mengikut resa akan lebih berjaya kerana dia akan juga mempunyai sifat kesabaran, ketabahan dalam mengharungi masalah dan tidak berputus-asa. Remaja yang memerlukan kawalan luaran seperti undang-undang atau ugutan untuk mengawal kelakuan mereka akan mudah terikut-ikut kepada pengaruh kawan-kawan. Itulah hikmahnya kita digalakkan bersolat dan beramal kerana ianya mengajar kita menahan diri dari melakukan sesuatu mengikut resa sahaja. Bukankah bersolat itu memerlukan disiplin dan kesabaran untuk didirikan??

No comments:

Post a Comment